Monday, November 15, 2010

Ceramah JengJongJeng

Sesudah tarikh 10 November tahun 2010, saya selaku salah seorang pelajar Jabatan Sains Forensik Universiti Kebangsaan Malaysia third batch merasa berbangga kerana telah berjaya dengan jayanya menamatkan keberlangsungan pembelajaran saya sebagai pelajar sem 1 tahun 3 bagi sesi 2010/2011.
Hal ini memberi erti kepada saya bahawasanya saya akan melalui sesi pembelajaran yang seterusnya yakni sem 2 tahun 3, insyaalah yang akan bermula pada 20 Disember tahun 2010 Masihi.
Sesungguhnya, tujuan saya mencoretkan keberjayaan saya melangsungkan sem 1 tahun 3 ini bukanlah untuk berbangga-bangga atau menunjuk-nunjuk kepada anak jiran sebelah rumah saya di jajahan Eng Yen Yen ini yang baru nak masuk tingkatan 1 yang bercita-cita nak mengambil Ijazah Sarjana Muda Sains Forensik dengan Kepujian apabila beliau dah lepas spm nanti, ataupun kepada rakan lama masa sekolah menengah dahulu yang selalu dok perlekehkan saya pabila dimana pada masa tersebut hanya saya seorang sahaja yang mendapat result hanya B+ dalam subjek geografi di dalam kelas tersebut dalam peperiksaan pertengahan tahun tingkatan 3 lalu menyebabkan saya mengamuk keluar dari kelas lalu memeranjatkan rakan-rakan kelas lain yang menyangka bahawa saya adalah seorang yang lemah lagi lembut bagaikan Siti Kelembai.
Sebaliknya tujuan saya adalah untuk menceritakan kekecewaan saya dalam ketidakbolehterimaan otak dan pemikiran saya bahawa saya sudah semakin meningkat dewasa dan semestinya saya mestilah bertindak sebagai seorang yang matang pada masa hadapan dalam setiap tindakan yang akan saya ambil.
Di dalam ayat di atas saya ada menyatakan bahawa saya telah pun hampir meningkat dewasa.
Hal ini kerana dengan bersaksikan mata saya yang bersinar kerana telah mengamalkan Inner Shine Pati Ayam Brands selama telah hampir 5 tahun ini,saya telah diperlihatkan peristiwa-peristiwa yang mengguris hati dan perasaan yang mungkin mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk sembuh sihat walafiat yang dialami oleh rakan-rakan terdekat saya tidak mengira kutub jantina samada laki-laki mahupun wanita.
Peristiwa-peristiwa yang dialami oleh mereka adalah tidak lari dari sebab yang lain,yakni hanya berlari-lari dalam satu sebab yang sama kerana ia berlari tidak henti-henti dalam 1 bulatan yang sama sahaja iaitu masalah cinta atau lebih sopan lagi mengenai masalah hati dan perasaan.
Di dalam sem ini, ramai rakan-rakan saya(termasuk diri saya sendiri)telah mengalami crush yang menyebabkan kami tidak boleh bangun dengan sendirinya mungkin kerana masalah berat badan berlebihan disebabkan di dalam hati dan otak pemikiran kami telah diberatkan dengan buah hati pengarang jantung kami sendiri yang telah memenuhkan memory card di dalam otak kami sampai kadangkala nasihat atau ilmu yang kami pelajari bertahun-tahun lamanya dan telah dihadam di dalam otak kami tidak dapat dipraktikkan dengan sempurna.
Oh Tuhan, betapa lemahnya iman kami.
Sebagai contoh dengan mengambil diri saya sebagai model bagi menggambarkan situasi di atas, saya telah mengalami crush yang telah menyakitkan hati dan perasaan bagaikan dihiris sembilu salah seorang rakan saya sendiri di mana kami mengalami crush pada laki-laki yang sama.
Manakan tidak, laki-laki yang telah dialami crush oleh kami berdua mempunyai cirri-ciri jejaka idaman gadis melayu di zaman ini seperti program yang telah disiarkan dan telah pun tamat siarannnya pada setiap hari jumaat jam 9 malam hanya di tv9.
Laki-laki tersebut memberi impak yang sangat besar kepada diri saya sampaikan saya sanggup menghabiskan masa membuat twitter saya sendiri untuk menfollownya.
Kesalahan saya telah crush kepada laki-laki tersebut tidak sepatutnya dijatuhkan 100% di atas bahu kiri saya kerana rakan penyerebutan saya itu juga mempunyai saham dalam menjadikan kejadian crush saya terhadap lelaki tersebut di mana rakan saya tersebut sendiri yang telah memperkenalkan laki-laki tersebut terhadap saya.
Pada mulanya saya hanya mahu mengada-ngada mahu crush dengan laki-laki tersebut dengan tujuan untuk menyakat rakan saya tersebut.
Namun lama kelamaan saya mendapati bahawa diri saya telah pun mengkhianati ataupun untuk ayat yang lebih dramatik, saya telah menikam rakan saya sendiri dari belakangnya dengan menggunakan pisau rainbow yang selalu digunakan oleh bapak saya di kebun getahnya.
Hal ini kerana, saya telah berjaya dengan jayanya meyakinkan rakan saya tersebut bahawa saya betul-betul mengalami crush dengan laki-laki tesebut!
Oh,terernya lakonan saya.
Hal ini menyebabkan pertelingkahan antara diri saya dan rakan saya tersebut yang selalunya berlangsung di dalam komen-komen atau status-status kami di facebook.
Sesungguhnya saya bersyukur kerana sehingga di saat ini,tiada di antara kami mengalami masalah kecederaan fizikal.
Hanya mental kami yang sedikit terganggu.
Oh,Ashraf Muslim!!!
Cerita masalah hati dan perasaan di atas hanyalah 1 di antara banyak cerita-cerita bersangkut paut hati dan perasaan rakan-rakan terdekat saya.
Antara cerita lain adalah dimana ramai di kalangan coursemate saya telah crush dengan rakan coursemate mereka sendiri.
Oh,dari sudut positifnya,antara manfaat yang boleh kami perolehi dari kecrushan mereka tersebut adalah kami-kami semua 1 course boleh menjimatkan kos hidup kami pada masa kelak dimana kami boleh menjimatkan kos perbelanjaan reunion.
Hal ini kerana reunion kami semua boleh dilangsungkan semasa kenduri-kendara mereka kelak.
Insyaallah..
Sebenarnya,banyak lagi peristiwa-peristiwa mengguris hati perasaan telah dialami oleh rakan-rakan saya.
Tinggi sebenarnya hajat saya sebenarnya mahu menceritakan kesemuanya.
Namun,tidaklah dapat saya berbuat yang sedemikian kerana dibimbangi jari-jari saya yang runcing ini bakal patah akibat kegiatan menaip di keyboard laptop acer saya ditambah pula kekhuatiran keterbakaran buku yang melapik laptop saya tersebut disebabkan laptop saya tersebut cepat panas.
Acerlah katakan..
Di akhir kata, saya ingin menyampaikan sepatah dua kata yang suka hati anda mahu mengambilnya sebagai nasihat ataupun mahu membacanya secara baca masuk mata kanan,keluar mata kiri, untuk renungan kita bersama.
Kepada rakan-rakan saya sekalian, hendaklah kita sama-sama menggunakan fikiran kita yang masih waras ini (walaupun ade sikit-sikit yang senget) mengatasi hasutan-hasutan makhluk invisible yang jahat laknatullah kerana mereka-mereka telah target kita untuk menyesatkan kita sejak kita dok sedap terlentok tidur 24 jam di dalam rahim ibu kita lagi.
Pandai-pandailah kita menguruskan hati dan perasaan agar tidak tersasar mengikut nafsu yang melulu
 dan berhati-hati menilai tindakan yang bakal dilakuin oleh kita-kita kerana mereka-mereka tersebut tersangatlah terer memutarbelitkan fakta-fakta yang kita anggap benar tetapi sebenarnya tidak benar belaka mengalahkan karpal singh, peguam yang terkenal dengan keputarbelitannya itu.
Hendaklah setiap dari kita berfikir mengikut akal yang waras berlandaskan Al-Quran dan Sunnah dan jangan bertindak mengikut arahan otak yang sedang bengong mengikut nafsu dan emosi semata-mata.
Jikalau kita tidak tahu Al-Quran dan Sunnah,belajarlah kerana dengannya, insyaallah hidup kita akan bahagia di dunia dan akhirat.
Insyaallah..

No comments:

Post a Comment